Friday, August 26, 2011

Jamil Khir: Tak perlu ragu status halal daging import

Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui status halal daging import yang dibawa masuk untuk memenuhi keperluan bekalan daging sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana semua pengimport daging terbabit telah dikenal pasti mematuhi syarat kelulusan status halal sebelum dibenar berbuat demikian.

"Daging import merupakan daging yang dikenal pasti daripada pengimport yang mematuhi tanda aras dan juga sijil halal yang telah dikeluarkan.

"Jadi tak timbul keraguan umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri beberapa hari yang akan datang ini berkenaan bekalan daging, selain jaminan daripada pihak KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," katanya kepada pemberita, di Gurun semalam.

"Termasuk juga tentang sembelihan itu, kita import daripada tempat-tempat yang mendapat kebenaran sijil daripada pihak Jakim," katanya.

Katanya Jakim sentiasa memantau pihak yang berkaitan untuk tujuan pembekalan serta pematuhan tanda halal yang telah diletakkan kerajaan.

Beliau yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Umno Bahagian Jerai di Kompleks Sukan Modenas berkata kerajaan juga mengimport bekalan dari pusat penyembelihan yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

- Bernama

Thursday, August 25, 2011

Makmal swasta dibenar ujian halal

Pengusaha produk makanan akan dibenarkan menggunakan kemudahan makmal swasta bagi mendapatkan status halal bagi pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk produk makanan keluaran mereka.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersama pengusaha industri kecil dan sederhana serta pengusaha dalam industri halal.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusof berkata kebenaran itu hanya akan diberikan kepada makmal swasta yang memenuhi piawaian dan mempunyai kelengkapan setaraf dengan Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

"Keputusan itu diambil bagi mempercepatkan lagi keputusan status halal sesuatu produk dapat diketahui selain memberi peluang kepada pengusaha industri menghantar terlebih dahulu sampel produk sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

"Kebenaran berkenaan juga antara penambahbaikan yang dibuat kerana kadangkala Jabatan Kimia lambat dan apabila keputusan keluar didapati negatif jadi tidak adil pula untuk pengusaha industri," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau berkata Jakim sentiasa menyediakan peluang untuk pengusaha berkomunikasi bagi urusan mendapatkan persijilan halal tetapi pada masa yang sama kepentingan Islam dan umat Islam tidak dikompromi sama sekali.

Pada pertemuan itu, pengusaha industri makanan juga dibenarkan untuk melantik wakil bagi mengadakan perbincangan dengan Jakim mengenai ujian DNA dalam produk keluaran mereka serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

Premis penyembelihan abai kebersihan

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Beberapa pusat penyembelihan ayam di ibu negara dikesan lebih mementingkan keuntungan kerana mengabaikan aspek kebersihan dan pematuhan halal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turun padang memeriksa tiga premis penyembelihan ayam tanpa sijil halal, awal pagi ini.

Dalam pemeriksaan mengejut mulai pukul 4 hingga 6 pagi di dua pusat penyembelihan ayam di Jinjang dan sebuah di Pasar Borong Selayang itu, ketiga-tiga premis itu langsung tidak menjaga kebersihan.

Meskipun dua daripada premis didapati mematuhi syarat iaitu menggunakan khidmat penyembelih bertauliah, namun apa yang membimbangkan adalah tiada pemeriksaan dibuat terhadap ayam-ayam yang telah disembelih.

Memburukkan lagi keadaan, apabila pemeriksaan mendapati hanya dua penyembelih ditugaskan untuk menyembelih 4,000 ekor ayam dalam tempoh dua jam.

Jailani ketika ditemui semasa operasi itu berkata, ketiadaan pemeriksaan dilakukan terhadap ayam-ayam yang selesai disembelih mungkin mengakibatkan ada yang terlepas pandang ayam yang disembelih secara tidak betul.

Katanya, meskipun ada peningkatan kesedaran di kalangan pengusaha pusat penyembelihan akan keperluan ayam disembelih mengikut syarat tetapi ia tidak mencukupi jika mereka mengabaikan beberapa aspek terutama kebersihan.

"Dalam pemeriksaan ini, kita dapati setiap ayam yang telah disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan juga tidak dibasuh setiap kali sembelihan.

"Ayam juga didapati ada yang tidak sihat atau berkemungkinan berpenyakit, malah ayam yang mati dilonggok atas lantai," katanya.

Menurut Jailani lagi, kebanyakan pusat penyembelihan tidak memohon sijil halal kerana tidak bersedia untuk mematuhi syarat yang dikenakan, termasuklah menjaga kebersihan premis.

Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap ayam pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri juga menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek halal dan kebersihan.

Pusat sembelih ayam diserbu

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 24 Ogos – Sejak 20 tahun lalu sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar di Taman Bukit Kecil dekat sini berselindung di sebalik plastik pembungkus yang berlogokan halal milik sebuah syarikat beralamat di Segambut, Kuala Lumpur.

Namun rahsia pusat yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak itu terbongkar apabila diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pusat sembelihan terbabit didapati tidak memisahkan langsung ruang sembelihan untuk orang bukan Islam dan orang Islam yang hanya terletak kira-kira 10 meter.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pusat pemprosesan itu tidak memiliki sijil halal mereka sendiri sebaliknya menggunakan logo halal milik syarikat lain.

“Ayam-ayam yang diproses di pusat ini dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam.

“Kita menahan 10 pekerja yang sedang memproses ayam di situ termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Faizal, dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penyembelih di kilang tersebut memiliki sijil tauliah penyembelihan yang sah namun ketika serbuan mereka didapati tidak mematuhi hukum syarak.

Jelasnya, sebanyak 3,000 ekor ayam yang telah siap diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 juga telah dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

Friday, August 19, 2011

Pusat sembelih belum dimanfaat

JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam halal dengan kos RM17 juta dekat Pandan di sini, nyata masih gagal dimanfaatkan pemborong ternakan itu di bandar raya ini.

Keadaan itu menyebabkan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam (3P) Sdn Bhd milik MBJB dekat Pandan itu ketika ini hanya mengendalikan sembelihan dan memproses 15,000 ekor ayam sehari, berbanding keupayaannya operasi hariannya mencapai 80,000 ekor.
Pengurus Pentadbiran dan Korporat 3P, Md Nazir Harasad, berkata ketika ini setiap hari pihaknya menerima tempahan menyembelih dan memproses 15,000 ayam itu daripada lima pemborong sekitar bandar raya.
“Kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan supaya kewujudan pusat berkenaan tidak sia-sia dan dapat dimanfaatkan masyarakat.

“Sekarang, operasi di sini hanya menggunakan 20 peratus daripada keupayaan yang ada berikutan tidak ramai pemborong yang menghantar bekalan ayam untuk diproses di sini, " katanya ketika menerima lawatan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor dan Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor (PPBNJ).

Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan, dibersih secara dimandikan terlebih dulu, sebelum diperdengarkan bacaan zikir yang membantu menenangkan ternakan terbabit. Ayam kemudian disembelih penyembelih bertauliah rakyat tempatan sepenuhnya.

Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan mempunyai tanda halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Johor (JAJ) menerusi tag yang dipasang pada bahagian kepak yang turut tertera beberapa maklumat mengenai pemilikan serta tanda ia dikendalikan oleh 3P.
Difahamkan, selain 3P yang dikendalikan MBJB, sebuah lagi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hidup yang diiktiraf serta mendapat sijil halal JAJ di bandar raya ini ialah Pusat Penyembelihan Ayam Kempas.

Md Nazir berkata, selain berusaha menarik perhatian pemborong supaya menghantar ayam untuk disembelih di situ, pihaknya juga mencadangkan supaya MBJB meningkatkan penguatkuasaan terhadap pusat sembelihan haram yang mendedahkan pengguna khususnya umat Islam terhadap ayam tidak disembelih sempurna dan tidak halal.

Katanya, mereka juga bercadang meminta JAJ menghentikan pengeluaran ‘tauliah sembelih’ di sekitar bandar raya ini selain menyediakan kursus wajib kepada penjual ayam dan memuatkan isu ayam halal dalam Khutbah Jumaat.

Bendahari Majlis Penyelaras Gabungan NGO Johor, Zaini Atan, berkata pihaknya mengalu-alukan operasi pusat sembelihan seperti 3P yang membantu melindungi pengguna khususnya umat Islam dalam mendapatkan barangan makanan khususnya ayam halal.

“Penguatkuasaan bersepadu pelbagai agensi penting bagi memastikan pemborong mematuhi arahan dan tidak lagi menghantar ayam ke pusat sembelihan tidak diiktiraf dan tidak mempunyai sijil halal JAJ.

Kedai roti, kek guna DNA babi berleluasa

2011/08/06
KUCHING: Masyarakat Islam sekali lagi dikejutkan apabila ratusan kedai roti dan kek di seluruh Sarawak disyaki turut menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang telah disahkan mengandungi DNA babi oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Apa yang membimbangkan, kira-kira 40,000 kilogram mentega berkenaan berada di pasaran di negeri ini dengan bekalan masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit yang menjualnya secara terbuka.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Huzir Wan Sulaiman, berkata penggunaan mentega Golden Churn Creamy Butter bukan saja di kalangan pengusaha kek lapis sebaliknya turut digunakan dalam industri pembuatan roti dan kek.
Katanya, banyak pengusaha kedai roti dan kek termasuk yang bukan beragama Islam dikesan menggunakan jenama mentega itu selepas mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

“Golden Churn Creamy Butter telah digunakan secara meluas di Sarawak sebelum ini dan ia tidak terhad digunakan pengusaha kek lapis saja kerana ia turut membabitkan kedai roti serta kek yang banyak di seluruh negeri.

"Selesai pemeriksaan semua premis pengusaha kek lapis, kami akan meneruskannya ke atas kedai roti dan kek bagi memastikan mereka mematuhi sijil halal dikeluarkan JAIS,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Selasa lalu, MIS memutuskan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter adalah haram selepas ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia mendapati wujud DNA babi di dalam sampel yang diambil dari pengedar di sini.
Wan Ahmad Huzir, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan ke atas semua pasar raya yang menjual mentega berkenaan agar mengalihkannya ke seksyen tidak halal selain meminta pengedar menampal logo halal pada bahagian bungkusannya.

“Kita tidak boleh mengarahkan mentega ini dimusnahkan kerana ada pelanggan bukan Islam masih menggunakannya.

“Mengenai dakwaan mengatakan wujudnya penghantaran Golden Churn Creamy Butter yang halal dari Australia, pihak kami menetapkan keseluruhan produk berkenaan adalah haram dan tidak ada sebarang penghantaran yang halal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit, meminta tindakan tegas turut dikenakan ke atas mana-mana pihak didapati pernah dan menggunakan mentega itu.

“Janganlah hanya ‘menyerang' pengusaha kek lapis kerana Golden Churn Creamy Butter turut digunakan banyak pihak termasuk hotel terkemuka dan kedai roti bagi menghasilkan kek atau biskut yang dijual kepada orang ramai.

“Mereka juga harus mengambil langkah sama termasuk menghentikan penggunaan mentega berkenaan dan menyamak peralatan dan perkakasan kerana pelanggan mereka merangkumi umat Islam juga,” katanya.

Roti Gardenia boleh guna semula logo halal

2011/08/16
KOTA KINABALU: Larangan mempamerkan logo halal pada roti Gardenia di Sabah yang dikuatkuasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak Januari lalu berikutan ada keraguan mengenai kaedah pembuatan roti itu, sudah ditarik balik pertengahan bulan lalu.

Penarikan balik dibuat selepas kajian Hab Halal JAKIM di Cyberjaya mendapati beberapa aspek kebersihan yang menimbulkan keraguan sebelum ini, sudah terjawab.
Sumber JAKIM berkata, sepanjang Januari hingga pertengahan Julai lalu, syarikat pengeluar roti Gardenia di sini yang menjalankan perniagaan itu secara francais dari syarikat induk di Shah Alam, diarah menutup logo halal pada bungkusan roti kerana permohonan mereka untuk memperbaharui penggunaan logo itu mempunyai keraguan.
“Syarikat yang berpejabat di Inanam itu mengemukakan permohonan untuk memperbaharui penggunaan logo halal dikeluarkan JAKIM hujung tahun lalu.

“Berikutan itu, kami menghantar sampel ke Hab Halal JAKIM di Cyberjaya. JAKIM melalui kerjasama Jabatan Makmal dan Jabatan Kesihatan menemui beberapa keraguan berhubung aspek kebersihan ketika itu, tetapi tiada gelatin babi ditemui,” katanya kepada Berita Harian.

Sumber itu menjelaskan, JAKIM mengarahkan syarikat berkenaan menggunakan bungkusan baru tanpa logo halal JAKIM tetapi syarikat itu membuat rayuan untuk terus menggunakan bungkusan berkenaan kerana sudah mengeluarkan kos tinggi membuatnya.

Berikutan itu, JAKIM mengarahkan syarikat menutup logo halal sejak Januari lalu.
“Hanya pertengahan Julai lalu, Hab Halal JAKIM selesai membuat penyelidikan dan mengeluarkan surat menyatakan syarikat itu boleh menggunakan semua logo halal,” katanya.

Seorang pengguna, Noor Izati Shamsuddin, 46, berkata sejak logo halal ditutup, beliau tidak lagi membeli roti berkenaan kerana bimbang ia mengandungi gelatin babi.

“Bagaimanapun, sejak sebulan lalu, saya dapati penutup itu sudah dibuka semula. Saya hairan macam mana logo halal itu boleh sekejap ditutup dan sekejap dibuka,” katanya.

Juadah 'tidak halal': Star dipanggil KDN






Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star kerana menyiarkan artikel mengenai berbuka puasa dengan memuatkan berita tentang restoran tidak halal dalam segmen sisipannya.

star pork photo report 110811Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata artikel itu dimuatkan dalam sisipan 'Dining Out' akhbar itu dengan 'Ramadan Delights' sebagai tajuk muka depan.

Beliau berkata kementerian ingin menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana menyiarkan artikel berkenaan.

"Kementerian memandang serius perkara ini, terutamanya kerana sisipan itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata akhbar tersebut telah mengakui kesilapan dan akan menyiarkan kenyataan memohon maaf di atas perkara itu.

Jakim tidak pernah keluar sijil halal mentega import

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sebarang persijilan tanda halalnya kepada mana-mana mentega yang diimport ke negara ini.

Pemangku Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohamad Yusuf (gambar) berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan sijil halal daripada pengeluar mentega luar negara.

"Produk mentega yang diimport memang tidak mendapat sijil halal Jakim tetapi mendapat persijilan halal daripada badan persijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

"Setakat ini, terdapat beberapa produk mentega luar negara yang sedang dipantau dan diteliti," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah mentega import yang mendapat sijil halal tersebut

Sembelihan 60,000 ayam diragui





PONTIAN 19 Ogos – Operasi bersepadu pihak berkuasa ke atas tiga buah pusat pemprosesan ayam mendapati dua daripadanya melakukan aktiviti penyembelihan yang tidak menepati syarak serta menggunakan logo halal yang tamat tempoh sejak empat tahun lalu.

Serbuan oleh Pejabat Kadi daerah Pontian, Pejabat Kesihatan Pontian, Jabatan Alam Sekitar negeri serta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi, melibatkan dua pusat penyembelihan ayam di Pekan Nanas dan sebuah lagi di bandar Pontian.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Halal Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Samsudin Paimi berkata, serbuan dibuat kerana timbul keraguan terhadap status halal kira-kira 60,000 ayam segar di pasaran sekitar negeri daripada 200,000 yang dikeluarkan setiap hari, berikutan pelanggaran piawaian JAIJ.

“Dalam serbuan tersebut, pihak PPDNKKK negeri mengambil tindakan menyita bilik sejuk premis terbabit dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Kita bimbang sekiranya aktiviti seperti ini dibiarkan, ayam yang diragui statusnya ini akan terus dijual kepada restoran dan pengguna beragama Islam di negeri ini apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut sama menyertai operasi tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok.

Jelasnya, ramai peniaga kecil-kecilan mengambil kesempatan mengaut untung dengan menggunakan plastik pembungkus memaparkan logo halal tamat tempoh untuk mengaburi mata pengguna sedangkan JAIJ sudah mewajibkan penggunaan label pada bahagian kepak ayam yang mengandungi maklumat penyembelihan dan status halal.

Kata Samsudin lagi, penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 pada tahun depan akan mengenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM10 juta untuk kesalahan kedua jika didapati bersalah menipu sijil halal.

Penyembelihan 60,000 ekor ayam segar di Johor diragui

19/08/2011 3:48pm

JOHOR BAHRU 19 Ogos — Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).

Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata, terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui.

"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain,” katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.

Samsudin berkata, JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.

Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci,” kata Samsudin.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua. — Bernama

Layari www.halal.gov.my untuk maklumat halal

ASIAH ALKHARIB SHAH
Pegawai Perhubungan Awam

BERIKUT adalah penjelasan berkaitan cadangan oleh Pak Syed Ampangan, Seremban yang diutarakan di ruangan forum berhubung Keluarkan Buku Panduan Tentang Sumber Makanan Halal yang disiarkan di ruangan ini pada 6 Julai 2011.

Jakim selaku peneraju dalam bidang Hab Halal memandang serius segala keperluan pengguna terhadap barangan dan produk halal. Untuk makluman, bahagian hab halal Jakim menerusi portalnya, www.halal.gov.my menyediakan direktori halal bertujuan untuk membantu pengguna mengakses maklumat berkaitan halal.

Selain itu, pengguna juga boleh menyemak status halal melalui sms iaitu menghantarnya ke 15888.

Di samping itu, Bahagian Hab Halal dengan kerjasama Telekom Malaysia akan menerbitkan Halal Pages yang merupakan direktori halal bagi pengguna. Ia akan diterbitkan dalam bentuk buku dan digital.

Bahagian ini juga ada menerbitkan beberapa pamplet penting berkaitan halal seperti Informasi Ramuan, Apakah Itu Gelatin, Ramuan Kritikal Dalam Makanan dan Panduan bahan Aditif.

Bahagian ini mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama menerbitkan apa jua bahan penerbitan berkisar halal.

Tuesday, August 16, 2011

MCA Kecam cara JAKIM tangani isu halal

KUALA LUMPUR 3 Ogos — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Jakim tidak wajar bersikap kertelaluan dalam menangani isu berkaitan sijil halal sebaliknya harus menyediakan lebih banyak ruang untuk berkomunikasi khususnya membabitkan pengusaha bukan Islam kata MCA “Walaupun saya faham Jakim mahu mewujudkan standard antarabangsa mereka perlu membenarkan ruang untuk komunikasi Mereka tidak boleh bersikap keterlaluan dalam mengendalikan soal mengeluarkan sijil halal ” tegas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek gambar di sini hari ini Dr Chua berkata demikian ekoran banyak aduan daripada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana IKS mengenai validasi pengesan DNA yang baru dilaksanakan untuk mengesan pencemaran komponen khinzir dan anjing Seorang pengilang bebola ikan dari Johor Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Ang berkata pegawai-pegawai Jakim telah mengambil sampel dari kilangnya Januari lalu dan telah membatalkan sijil halalnya dua bukan kemudian disebabkan kesan pencemaran khinzir “Apabila meminta mereka menunjukkan laporan mereka tidak sanggup Tidak ada salinan yang diberikan Mereka meminta saya merayu untuk sijil yang baru ” kata Ang Bagaimanapun ramai usahawan tidak berpuas hati kerana permohonan untuk mendapatkan sijil halal memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan dan keadaan itu “menjejaskan perniagaan ” “Apabila syarikat-syarikat ini ditolak mereka memerlukan enam bulan untuk memohon semula untuk mendapatkan sijil halal Sesetengah daripada mereka mengambil masa sehingga satu tahun Ini adalah tidak adil “Jakim perlu mendidik dan membimbing syarikat-syarikat ini bukan menyusahkan mereka “kata Dr Chua lagi Wakil Persatuan SMI Malaysia berkata mesin DNA yang baru ini sangat sensitif dan mudah tercemar Mereka menggesa agar prosedur ujian semasa dikaji semula “Ini mungkin kes pencemaran balas Selain itu apabila pengesanan diambil Jakim tidak seharusnya menggantung sijil kami selama enam bulan tetapi membiarkan syarikat melaksanakan audit yang menyeluruh ” kata seorang wakil “Jakim harus membenarkan lebih ruang untuk berdialog kami perlu tahu mengapa produk-produk kami telah ditolak “ katanya Dr Chua juga berkata ketelusan tidak wujud dalam tindakan Jakim “Mereka akan kata anda habis dalam kes-kes macam ini Tiada audit kedua Kajian di makmal bebas juga tidak diterima “Di Malaysia semua pengilang mengimport bahan-bahan dari negara-negara lain Bahan-bahan yang diimport ini disahkan halal di negara-negara import tetapi Jakim kata ia ini tidak halal ” katanya “Apa sumber standard yang Jakim berdasarkan Adakah ia diterima di peringkat antarabangsa ” soal Dr Chua “Jakim telah bersikap keterlaluan dalam mengendalikan isu sijil halal Saya akan membangkitkan isu ini dalam jawatankuasa ekonomi negara ” kata Dr Chua lagi.

sumber : www.themalaysianinsider.com

Mentega Golden Churn diletak bersama produk halal

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sungguhpun telah disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), namun masih ada peniaga yang meletakkan mentega jenama “Golden Churn Pure Creamery Butter” bersama produk halal yang lain.

Tinjauan Bernama ke sebuah pasar raya di Setiawangsa mendapati produk mentega berkenaan masih dijual dan diletakkan bersama produk mentega yang lain tanpa mempamerkan logo tidak halal.

Tindakan pihak pengurusan pasar raya berkenaan yang tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam mendatangkan kemarahan pelanggan beragama Islam.

Namun pihak pengurusan pasar raya berkenaan enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara tersebut.

Seorang suri rumah Latifah Wan Talib, 53, berkata, beliau merasa kesal dan marah dengan tindakan pengurusan pasar raya itu sungguhpun berita mengenai status halal produk mentega dari New Zealand itu telah disebarluaskan menerusi media.

"Saya memang tidak bersetuju dengan ketidakpekaan pihak pasar raya di sini.

Ini isu sensitif, seharusnya mereka peka dan mengambil tindakan segera dengan menarik balik penjualan produk ini,” katanya.

Seorang pegawai bank Nor Azlina Zahri, 35, yang sudah bertahun-tahun menggunakan produk mentega Golden Churn berasa ralat dengan pengumuman oleh Jakim.

"Setiap tahun saya menggunakan mentega ini untuk membuat biskut raya, agak terkilan bila mendapat tahu produk ini tidak halal dan segala persiapan terpaksa dilakukan semula.

"Sepatutnya isu berkaitan halal haram perlu diteliti dari semasa ke semasa oleh pihak tertentu supaya kami sebagai pengguna yang beragama Islam tidak keliru dan was-was terhadap sesuatu produk,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pasaraya Speedmart Cawangan Dataran Jelatek, Mazlan Hasbullah berkata, pasar raya berkenaan tidak pernah memasarkan produk mentega jenama tersebut atas arahan pihak pengurusan.

"Sebenarnya pihak pengedar sendiri sudah tahu halal atau haram produk yang mereka hendak pasarkan, tetapi mereka sering terlepas pandang tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna,” katanya. - Bernama

Pengusaha keropok lekor perlu ada sijil halal

KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Para pengusaha keropok lekor di negeri ini diminta memohon sijil halal bagi meningkatkan kepercayaan pengguna selain membuka peluang untuk menembusi pasaran eksport.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Rozali Saleh berkata, sehingga kini hanya dua daripada 30 pengusaha keropok lekor yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memiliki sijil manakala tujuh pengusaha lagi dalam proses permohonan.

Katanya, pemilik sijil halal bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan para pengguna terhadap produk yang dikeluarkan malah dapat membantu melariskan sesuatu produk.

"Seperti yang kita maklum terdapat ratusan pengusaha keropok lekor di negeri ini yang masih belum memohon sijil halal di atas beberapa faktor seperti tiada lesen perniagaan, sumber pembekal tiada sijil halal serta kekangan modal menambah baik premis.

"Namun kita berharap dengan kerjasama yang diwujudkan bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) melalui Petugas Khas Pemudahcara Pernigaaan (Pemudah), proses untuk mendapatkan sijil halal lebih mudah dan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan dan Logo Halal Malaysia dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MAMPU merangkap Timbalan Pengerusi Focus Group Pengurusan Pensijilan Halal (FGPPH), Dr. Mazlan Yusoff.

Pada majlis itu, dua pengusaha keropok lekor iaitu Sariah Ismail, 52, daripada KY Food Industries Sdn. Bhd dan Zakiah Othman, 56, (Keropok House Dungun Gallery) menerima sijil halal.

Dalam pada itu, Mohd. Rozali meminta agar pengusaha keropok lekor tidak mempertikaikan saranan pihaknya agar mereka memohon sijil halal demi menjamin kualiti bahan makanan tersebut.

"Mungkin ada yang berpendapat produk halal ialah bahan yang dijual tidak mengandungi sebarang bahan haram namun konsep halal adalah lebih daripada isi kandungan sahaja.

"Setiap aspek harus diambil kira termasuk keadaan dapur, tempat memproses, bahan yang diambil daripada pembekal sehinggalah proses pengangkutan harus dipastikan halal," ujarnya.

Sementara itu, penerima sijil halal, Zakiah yang telah mengusahakan perusahaan keropok lekor lebih 30 tahun gembira apabila akhirnya perusahaannya memperolehi sijil halal.

Katanya, sijil halal itu memudahkan perancangannya untuk mengeksport keropok keping.

"Sebelum ini kita ada mendapat tempahan dari Arab Saudi dan beberapa negara lain jadi dengan sijil halal ini saya dapat mengembangkan perniagaan untuk tujuan eksport," jelasnya.

Mentega Golden Churn Pure Creamery Butter tidak hala

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Orang Islam di negara ini diingatkan agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa produk keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY dari New Zealand itu tidak halal.

"Ini berikutan laporan analisis yang diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai lalu menunjukkan terdapat Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan dan ia disahkan oleh JKM sendiri.

"Keputusan ini diambil setelah mendapati produk yang terlibat, berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu telah dimaklumkan kepada syarikat tersebut dan mereka bersetuju untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran.

Katanya, bagi pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal daripada Jakim ataupun jabatan agama Islam negeri pula yang telah menggunakan produk tersebut, diminta untuk melakukan beberapa proses tertentu.

"Pertama, mereka perlu menukarkan bahan ramuan tersebut kepada bahan ramuan lain yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf.

"Kedua, mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru dan melakukan samak dengan disaksikan oleh jabatan agama Islam negeri.

"Akhir sekali pihak berkenaan perlu mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak jabatan agama Islam negeri," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa prihatin dan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara dalam isu-isu berkaitan dengan halal dan tidak akan bertolak ansur mengenai hal itu.

"Bagi mengelak sebarang kekeliruan berkaitan isu-isu halal, orang ramai diminta merujuk kepada laman web Jakim iaitu www.islam.gov.my dan tidak merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti laman web sosial," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai status halal boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, Jakim di talian 03-83150200.

Dugaan Ramadan Siti Nurhaliza

CUKUP terkesan apabila menghadapi tuduhan yang amat berat, penyanyi kesayangan Malaysia ini menganggap itu merupakan ujian getir buatnya sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini.

Tidak pernah terlintas isu ‘berus bulu babi’ akan menjadi besar, siapa sebenarnya yang tahu cerita yang berlaku di sebaliknya? Tidak ada siapa yang dapat meneka gelodak hati Datuk Siti Nurhaliza ketika ini.

Di sebalik senyuman yang tak pernah putus-putus terukir di bibir mulusnya, hatinya cukup risau dengan persepsi orang ramai terhadap produk SimplySiti yang cukup hangat mendapat sambutan.

Inilah yang dinamakan ujian. Ujian yang melengkapkan frasa hidup orang-orang yang berjaya seperti dirinya. Cuma apa yang membezakannya adalah besar atau kecilnya size cabaran itu.

“Siti tak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Siti juga tak tahu macam mana surat itu boleh keluar di blog-blog sampaikan heboh kononnya produk SimplySiti menggunakan berus bulu daripada bahan terlarang.

“Sejujurnya Siti sedih dan kecewa dengan apa yang dah berlaku. Berus itu bukan berus produk kami tetapi berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang.

“Kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telah pun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.

“Siti sudah pun mengeluarkan kenyataan mengenai hal tersebut. Dan beberapa hari lalu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun telah membuat kenyataan berhubung kontroversi yang melanda ini.

“Memang Siti berterima kasih pada Jakim yang banyak membantu kami membersihkan semula nama SimplySiti. Cuma apa yang Siti risau bila peminat dan pembeli masih lagi ragu-ragu pada produk.

“Bukan semua orang sudah membaca kenyataan Jakim tu. Jadi Siti kena terus menguar-uarkan hal ini agar semua orang tahu yang produk kami halal seperti mana yang dituntut oleh syarak,” kata penyanyi asal Pahang lagi.

SimplySiti disabotaj?

TIDAK pernah terfikir isu ini akan berlarutan sehingga menjejaskan semua pihak, ramai yang mula menganggap ada isu lain yang berlaku di belakang kes berus bulu babi.

Pancaindera banyak menerima komen daripada beberapa pihak luar yang menyatakan keraguan mereka dalam isu ini. Keraguan bukan dalam hal halal atau haram tetapi bagaimana surat tersebut boleh terdedah kepada umum.

Yang menariknya, bukan sekadar isi kandungan surat yang menjadi perhatian ramai tetapi yang tersebar bersama adalah surat yang asli sehingga menampakkan seluruh butir-butir yang tercatat.

Lantas ramai yang membuat andaian SimplySiti sudah disabotaj. Bagaimana maklumat yang cukup sulit itu boleh tersebar dan siapa pula yang menjadi dalang kepada masalah tersebut?

Ramai juga berandaian jualan SimplySiti yang naik mendadak cukup ‘melemaskan’ pesaing-pesaing yang lain sehingga berlakunya hal demikian. Lantas ini adalah jalan pintas untuk menyekat produk berkenaan daripada terus menjadi perhatian ramai.

Biarpun perkara itu masih hanya andaian, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu Siti lebih banyak mencari jalan selamat untuk tidak membuat kenyataan berkaitan hal itu.

“Saya tidak mahu komen isu sabotaj atau apa juga hal lain. Ini memang di luar pengetahuan Siti dan tak perlu nak tunding jari cari yang berniat jahat.

“Banyak perkara yang kami (syarikat) terlepas pandang soal-soal yang sensitif ini. Jadi bila isu berus ini timbul ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada Siti sendiri tentang soal ini.

“Memang itu menjejaskan imej SimplySiti dan imej Siti sendiri. Soal halal haram ini memang cukup sensitif bagi kebanyakan orang kita. Tapi setidak-tidaknya kita berusaha untuk membuktikan yang SimplySiti serius dalam soal halal.

“Jadi Siti anggap hal ini dah selesai memandangkan Jakim sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang produk kami halal tanpa sebarang masalah seperti mana didakwa.

“Siti tak ada masalah dengan pihak Jakim. Kita ikut apa sahaja prosedur yang mereka mahu dan kalau boleh biarlah kerjasama antara kami terus berpanjangan dan erat.

“Cuma satu Siti minta, tolong sebarkan maklumat yang tepat,” katanya penuh makna.

Program Ramadan

MELEWATI minggu kedua dalam bulan Ramadan, sudah banyak aktiviti yang dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia. Dalam bulan yang cukup dinantikan ini sudah pasti seluruh umat Islam mahu menggandakan amalan berbanding bulan yang lain.

Cukup teruja melewati Ramadan yang hanya tiba setahun sekali, Siti juga tidak lupa beramal untuk bekalan ‘masa hadapan’.

Cerita penyanyi Aku Cinta Padamu itu, walaupun sibuk dengan urusan tugas mengemudi bisnes yang cukup pesat itu, dia sendiri banyak menerima undangan pentas sempena program hari raya nanti.

Dia yang baru sahaja selesai menjayakan beberapa program televisyen menyifatkan Ramadan kali ini cukup mencabar dan sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur selama ini.

Namun pada 7 Ogos yang lalu, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempat bersama dengan penduduk di Masjid Al-Khalidiah Kampung Permatang Pasir, Kedah.

Dalam majlis penyerahan wang zakat dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan itu, Siti cukup gembira kerana dengan bantuan yang tidak seberapa itu mampu memberikan senyuman pada mereka yang menerima.

“Ini merupakan tanggungjawab Siti untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Tradisi ini sudah lama dan Siti gembira kerana kami sekeluarga dapat berjumpa dan berbuka puasa bersama saudara, sahabat handai dan orang sekitar.

“Alhamdulillah tahun ini Siti masih berpeluang untuk mengerjakan umrah bersama ahli jemaah yang lain. Ini memang pengalaman yang sangat mengujakan Siti untuk Ramadan kali ini.

“Siti mohon untuk diberi kesempatan beribadah dengan tenang nanti. Mungkin ini dapat mendekatkan diri Siti dengan Allah dan meringankan dugaan yang Siti hadapi selama ini,”

jelasnya yang akan menyambut ketibaan Syawal di kampung sebelah suaminya.

Hanya pada hari raya ketiga barulah dia akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang bagi merai hari lebaran.

Kata Siti lagi, dia pasti akan mengunjungi kubur arwah bapanya terlebih dahulu sebelum bergembira bersama sanak-saudara yang lain.

Dalam nada yang cukup gembira, kata si jantung hati Malaysia ini lagi dia berdebar menantikan kemunculan album Inggeris pertamanya pada bulan September nanti.

Segala-galanya hampir selesai, itu menambah lagi rasa gembira memandangkan ramai yang memberikan reaksi positif terhadap lagi Falling In Love yang sudah diputar di corong-corong radio.

“Memang album Inggeris ini Siti idam-idamkan sejak awal menjadi penyanyi dan sekarang baru jadi kenyataan.

“Kalau kita tak cabar diri sendiri, sampai bila-bila pun kita tak akan berjaya. Kalau boleh biarlah sambutan album ini pun sama seperti album balada sebelum ini,” jelasnya.

Sunday, August 7, 2011

Isu berus bulu babi : Kenyataan Rasmi Siti Nurhaliza

Seperti yang diketahui, berita mengenai SimplySiti kini sedang tersebar luas tentang produk SimplySiti yang mempunyai berus yang tidak Halal. Untuk mengelakkan berita ini dari terus menjadi tanda tanya, Dato’ Siti Nurhaliza dan pihak pengurusan SimplySiti ingin memberikan informasi kepada semua melalui kenyataan seperti di bawah.

Pihak SimplySiti harap ini dapat membantu untuk menjawab soalan yang kini sedang ditujukan mengenai kesahihan sijil Halal produk SimplySiti. Pihak SimplySiti juga sangat berharap pihak media dan wartawan yang tidak putus menyokong SimplySiti selama ini dapat turut membantu untuk berkongsi kenyataan beliau kepada semua.

KENYATAAN DARIPADA SIMPLYSITI

Merujuk kepada sebaran lampiran yang terdapat di dalam blog, berikut adalah kenyataan daripada SimplySiti. Pihak kami terpaksa membuat kenyataan akhbar lebih awal memandangkan terlalu banyak pihak yang telah menyebarkan spekulasi mengenai hal ini. Kenyataan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham orang ramai dan melindungi imej produk kami yang dituduh menggunakan berus babi.

Produk SimplySiti sentiasa mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM sebelum sebarang produk kami diberi sesuatu kelulusan Halal. Sebenarnya, produk-produk SimplySiti serta berus yang terdapat di dalamnya yang telah mendapat pengesahan Halal tidak terbabit dengan tuduhan yang dibangkitkan tersebut.

Pihak kami selama ini berkerjasama rapat dengan pihak JAKIM dalam setiap proses yang harus dipatuhi sebelum sesuatu produk itu dihasilkan dan dipasarkan untuk kegunaan orang awam.Sokongan dan bantuan yang kami terima daripada pihak JAKIM amat kami hargai dan kami banyak belajar daripada mereka kerana sebagai perniagaan yang berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk semua, pihak JAKIM adalah rakan dan pihak yang sangat komited dan paling berwibawa dalam menghulurkan khidmat nasihat dan bantuan kepada pengusaha-pengusaha seperti kami terutama sekali dalam proses penghasilan dan pengesahan kualiti sesuatu produk secara amnya, dan untuk piawaian Halal secara khususnya.

Sebab itu proses penghasilan sesuatu produk yang ingin mendapat pengesahan Halal daripada Jakim perlu melalui proses pemeriksaan dan siasatan yang terperinci bukan hanya bagi setiap jenis bahan yang terbabit di dalam pembuatan produk, malahan premis, setiap prosesnya termasuk pengangkutan, simpanan, pengeluaran, para pekerja dan segala-galanya perlu mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM.Apa yang berlaku di dalam konteks seperti yang tertera di di dalam blog tersebut adalah tidak benar.

Bulu yang dilaporkan di dalam lampiran tersebut BUKANLAH bulu berus yang terdapat di dalam produk SimplySiti tetapi hanyalah berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang dan kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telahpun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.

Oleh itu, kami dengan ini menjamin bahawa produk-produk SimplySiti yang telahpun mendapat pengesahan Halal JAKIM adalah benar & berus yang terdapat di dalam produk-produk kosmetik yang kini terdapat di pasaran juga adalah mematuhi syarat piawaian Halal daripada JAKIM.

Bukan itu sahaja, kami juga rasa terharu kerana kerjasama dan follow up yang kami terima daripada pihak JAKIM juga adalah pantas dan efisyen untuk kami mudah membuat apa-apa tindakan susulan dengan efektif.Memang sudah cita-cita dan niat Siti adalah untuk memastikan produk SimplySiti adalah halal, suci dan berkualiti. Hanya yang terbaik untuk semua para pengguna maka Siti sanggup buat apa sahaja dan akan terus berusaha memperbaiki mana-mana kekurangan walaupun proses atau usaha itu mengambil masa dan kos yang lebih sedikit daripada proses yang biasa.

Sekiranya sesuatu produk itu diragui kesuciannya, kami tidak akan menjual malahan akan menarik balik dari pasaran.SimplySiti akan turut mendapatkan kenyataan daripada JAKIM supaya hal ini tidak lagi dipanjangkan sehingga meragukan pengguna SimplySiti. Kami harap pihak JAKIM akan dapat menerangkan status halal SimplySiti dalam kenyataan akhbar mereka nanti.

Dan memandangkan isu ini timbul secara mengejut dan kebetulan jatuh pada hujung minggu, pihak SimplySiti akan turut berjumpa dengan pihak JAKIM secepat mungkin untuk berbincang tentang hal ini. Kami mohon agar orang ramai tidak membuat spekulasi awal kerana kami sangat prihatin dan sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesucian di dalam produk kami.

Industri halal: Jangan sampai melepas

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Industri halal global yang dianggarkan bernilai RM2 trilion telah membuka mata banyak syarikat di dunia untuk merebut peluang yang ada termasuk negara Thailand yang ternyata nampak kesungguhannya.

Persoalannya di mana letaknya kedudukan Malaysia, sebuah negara Islam yang mempunyai pelbagai kelebihan termasuk keupayaan untuk mengadakan piawaian halal yang diiktiraf antarabangsa dan pusat rujukan negara-negara lain.

Perlukah kita hanya sekadar berbangga menjadi pusat rujukan ketika terdapat negara-negara lain lebih bersungguh-sungguh untuk mengaut kek penguasaan pasaran lebih besar.

Adakah kita hanya mahu berfungsi sebagai pusat rujukan semata-mata dan membiarkan orang lain mengaut keuntungan besar dengan memajukan dirinya secara lebih bersepadu untuk muncul sebagai peneraju industri halal dunia.

Di Malaysia, terdapat dua agensi yang bertanggungjawab penuh terhadap pembangunan industri halal iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Halal Development Industry Corporation (HDC).

Kedua-dua agensi ini berpayung di bawah kementerian berbeza dan peranan mereka juga kadangkala mengelirukan terutama apabila timbul sesuatu isu.

Kemelut tentang persijilan halal sendiri juga tidak kesudahan apabila terdapat premis perniagaan menggunakan sijil halal yang berbeza dan apa yang kedengaran hanya amaran demi tanpa tindakan dan penyelesaian yang konkrit.

Bahkan, kalau diperhatikan kini semakin banyak barangan makanan yang menggunakan persijilan halal Thailand berada rak-rak pameran sama ada di pasar raya mini atau pasar raya besar.

Malah, baru-baru ini timbul lagi rungutan para pengusaha yang gagal mendapatkan sijil halal daripada Jakim walaupun produknya telah dijual sebagai produk halal dunia.

Persoalan kenapa mesti jadi begitu, bukankah HDC sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga bertanggung bertanggungjawab dalam membajai pertumbuhan dan penyertaan peniaga-peniaga tempatan ke pasaran halal global.

Mungkin HDC perlu lebih agresif dan ke hadapan dalam menangani persoalan itu bersama-sama Jakim mengisi sebarang lompang yang ada dalam menjana pesat perkembangan industri halal.

Ia seharusnya membantu "rakan segelanggangnya" menyedar dan menyemarakkan minat pelbagai pihak yang sebenarnya ingin menyelami industri halal tempatan tetapi gagal mendapat maklumat yang jelas.

Apa yang agak menyenangkan tetapi bukan sesuatu penyelesaian yang konkrit apabila Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberikan jaminan akan berusaha berbincang dengan pengusaha dan mencari jalan terbaik untuk memastikan industri halal tempatan kekal subur di persada antarabangsa.

Biarpun begitu, mampukah Malaysia mampu menjadi juara industri halal global ketika pemain-pemain tempatan merasakan ia gagal menawarkan penyelesaian halal secara menyeluruh.

Adakah cukup kita sekadar mengadakan taman-taman perindustrian halal di seluruh negara sedangkan isu-isu remeh temeh seperti mendapatkan sijil halal, tahap kesedaran dan penguatkuasaan masih belum selesai sepenuhnya.

Perlukah kita mengadakan penyelesaian berbentuk holistik dengan memantapkan penggunaan logo halal di dalam negara sambil turut meningkatkan bilangan syarikat menggunakan logo halal sebelum mengorak lebih jauh ke luar negara.

Kita perlu cepat bertindak kerana negara-negara jiran yang bukan negara Islam seperti Thailand pun semakin agresif menyusun langkah bagi meningkatkan bilangan syarikat untuk mendapatkan sijil halal.

Apatah lagi, negara itu juga berazam mahu menjadi negara pengeksport makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Amat malang sekali jika satu masa nanti Malaysia hanya sekadar dipandang pusat rujukan tetapi syarikat-syarikat tempatan gagal untuk memanfaat faedah daripadanya secara menyeluruh.

Letak berasingan Golden Churn

KUCHING 6 Ogos - Semua pasar raya di negeri ini diarah mengasingkan Golden Churn Creamery Butter daripada produk halal yang lain supaya umat Islam tidak keliru sehingga terbeli mentega itu.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta setelah mentega tersebut disahkan tidak halal baru-baru ini.

Jika gagal berbuat demikian katanya, mereka boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang membawa kepada denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun kerana melakukan penipuan berkaitan logo halal.

"Kita tidak boleh memberi arahan untuk memusnahkan atau menarik balik mentega ini daripada pasaran memandangkan ada pelanggan bukan Islam menggunakannya.

"Bagaimanapun, kita telah mengarahkan semua pasar raya meletakkan mentega ini di bahagian produk tidak halal serta menutup atau memadamkan logo halal yang tertera pada labelnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamery Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.

Pengesahan itu mengejutkan banyak pihak memandangkan mentega berkenaan dipercayai digunakan secara meluas dalam industri roti dan kek di negeri ini, termasuk perusahaan kek lapis Sarawak.

412 hotel seluruh negara miliki sijil halal

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sebanyak 412 hotel di seluruh negara setakat ini mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) meliputi hotel bertaraf kosong hingga lima bintang.

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, sebanyak 108 hotel mendapat sijil itu daripada Jakim dan 307 lagi daripada JAIN.

“Saya nasihatkan kepada hotel-hotel yang belum mempunyai pensijilan halal supaya membuat permohonan. Pihak kami akan membantu mempermudahkan permohonan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Othman, sebanyak 300 hotel terlibat adalah bertaraf tiga ke lima bintang, manakala baki 112 adalah dua bintang ke bawah.

Menurutnya, Sabah mempunyai jumlah hotel yang paling banyak mempunyai sijil halal iaitu 52 buah, manakala di ibu negara sebanyak 49 hotel menerima sijil itu daripada Jakim.

Untuk senarai nama hotel dan juga dapur yang halal, orang ramai boleh merujuk di portal halal Jakim di www.halal.gov.my.

Hanya 22 hotel ada sijil halal

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 5 Ogos - Hanya 22 buah hotel termasuk di negeri ini yang menyajikan bufet Ramadan mempunyai sijil halal yang diperakui oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHAEAIPP).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, statistik itu diperoleh semasa pemeriksaan pihaknya ke atas 50 hotel di negeri ini.

Menurutnya, kesemua hotel tersebut yang terletak di pusat bandar, Bayan Baru, Batu Feringghi dan Seberang Perai menepati standard prosedur penyediaan bahan-bahan makanan mengikut syariah.

"Pengesahan sijil halal ini khusus bagi hotel-hotel yang menyajikan bufet Ramadan pada tahun ini, manakala tinggal 28 hotel lagi masih dalam proses pemantauan.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha hotel yang bertindak mengubah senarai pembekal ramuan masakan setelah lulus pemeriksaan halal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Bagi kesalahan tersebut, JHEAIPP boleh menggantung pengesahan sijil halal selama dua minggu manakala penalti enam bulan akan dikenakan sekiranya terdapat bahan-bahan terlarang digunakan seperti cuka wain atau asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam hidangan.

Jelas Faizal lagi, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri akan melakukan pemantauan berkala ke atas hotel yang menggunakan nama bufet Ramadan sebagai promosi berbuka puasa.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap premis berkenaan kerana JHEAIPP hanya membuat pengesahan persijilan halal serta pemeriksaan ke atas bahagian dapur selain menasihati pihak pengurusan hotel agar memohon sijil tersebut.

"Namun, tindakan saman akan dikeluarkan oleh pihak PPNDKK negeri mengikut peraturan-peraturan berkaitan jabatan tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak hotel agar memainkan tanggungjawab memastikan hidangan yang disediakan memiliki sijil halal.

Kek lapis Sarawak halal

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 5 Ogos - Semua pengusaha kek lapis Sarawak yang terkenal di negeri ini tidak menggunakan mentega Golden Churn Creamy Butter untuk menghasilkan produk mereka.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, mentega berjenama itu bukanlah pilihan utama untuk menghasilkan kek lapis oleh para pengusaha di negeri ini kerana harganya mahal.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat segelintir pengusaha kecil pernah menggunakan produk itu sebelum menghentikan penggunaannya sejak disahkan haram April lalu.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan para pengusaha kek lapis dan mereka memaklumkan tidak pernah menggunakan mentega itu kerana harganya lebih mahal berbanding jenama lain.

"Bagi yang pernah menggunakannya pula, mereka menyamak peralatan dan premis masing-masing serta beralih menggunakan jenama lain sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang akhbar bersama DUBS dan Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (Pengasas) mengenai isu tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pengasas, Dawi Abd. Rahman.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamy Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.

Ekoran pengesahan tersebut, reputasi pengusaha kek lapis di negeri ini dikhuatiri terjejas walaupun mereka tidak menggunakan produk berkenaan.

Abang Helmi seterusnya memberitahu, para pengusaha roti dan biskut yang terlibat dalam perkhidmatan pembekalan makanan ke sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan juga tidak pernah menggunakan mentega berjenama Golden Churn.

"Mereka tidak memilih jenama itu kerana daripada perspektif industri, penggunaannya melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Sampel produk diambil Jakim dapat akreditasi

04/08/2011 5:15pm

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kesemua sampel produk yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihantar untuk tujuan analisis ke Jabatan Kimia Malaysia yang telah mendapat akreditasi bagi skop pengujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah Jakim, Osman Mustapha berkata, dalam melaksanakan ujian bagi sesuatu produk oleh sesebuah makmal, faktor seperti kaedah pengujian, tahap pengesanan, peralatan yang digunakan, juru analisis dan akreditasi terhadap skop pengujian, memainkan peranan yang penting dan pada masa sama mempengaruhi keputusan ujian.

"Berdasarkan faktor-faktor ini, Jakim sehingga kini hanya bergantung kepada keputusan analisis Jabatan Kimia sebagaimana juga yang diamalkan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya dalam satu kenyataan ekoran kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam yang mendakwa Jakim bersikap keterlaluan dalam menangani isu berkaitan sijil halal. - Bernama

Jakim hanya iktiraf ujian makmal Jabatan Kimia kerana miliki peralatan tercanggih

PUTRAJAYA 4 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah menerima pakai status halal yang dikeluarkan makmal swasta sebaliknya hanya mengiktiraf ujian itu yang dilakukan di makmal milik kerajaan iaitu Jabatan Kimia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana makmal yang terletak di Petaling Jaya itu memiliki peralatan canggih yang mampu mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) babi secara tepat.

Justeru, tegas beliau, tidak timbul dakwaan kononnya Jakim sengaja menganiaya golongan peniaga yang telah mendapatkan pengesahan halal ke atas produk mereka selepas melalui ujian di makmal swasta.

''Kita bagi peluang kepada semua peniaga tanpa mengira kaum untuk memohon sijil halal tetapi mereka tidak bolehlah pandai-pandai pergi ke makmal swasta.

"Kalau diikutkan, universiti-universiti pun ada makmal sendiri untuk buat analisis ujian DNA tetapi kita tidak iktiraf sebab kemampuan mencerakinkan (menyelidik) barangan dalam kandungan produk itu tidak sama seperti yang dimiliki Jabatan Kimia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jamil Khir menegaskan, tidak timbul langsung dakwaan kononnya pengusaha bukan Melayu disekat daripada memohon sijil halal kerana kelulusan akan diberi sekiranya produk dikeluarkan mematuhi peraturan ditetapkan.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mendakwa pengusaha makanan halal kecewa apabila permohonan sijil halal bagi produk seperti kopi, otak-otak, kepak ayam, burger ayam, sosej Taiwan, sos BBQ dan susu tepung ditolak oleh Jakim kerana mengandungi DNA babi dan anjing walaupun ujian di makmal swasta menunjukkan produk mereka halal.

Soi Lek mendakwa, selepas ujian Jakim mendapati produk tertentu tidak halal tiada ujian kedua dilakukan untuk mengesahkan keputusan ujian pertama.

Jamil Khir menegaskan, pihaknya tidak pernah menganiaya mana-mana pengeluar makanan sebaliknya mereka perlu memahami peraturan ditetapkan dan tidak beranggapan bahawa semua ujian makmal adalah sama.

"Sebagai contoh, kita boleh tengok klinik pakar mata di merata-rata tempat tetapi kerajaan hanya mengiktiraf klinik pakar mata milik Kementerian Kesihatan, begitu juga dalam situasi ini," katanya.

Menurutnya lagi, Jabatan Kimia memiliki akreditasi dalam analisis DNA dan amalan tersebut turut diamalkan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Memo Editor Isu ujian makmal oleh JAKIM terhadap produk untuk tujuan pengesanan DNA babi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memberi penjelasan berkenaan perkara ini.

Terlebih dahulu JAKIM ingin memaklumkan bahawa dalam pelaksanaan pensijilan halal, pengambilan sampel produk atau bahan ramuan untuk diuji berdasarkan dua faktor iaitu berasaskan keraguan atau aduan mengenai sesuatu produk atau bahan ramuan.

Keraguan yang dimaksudkan adalah seperti sekiranya terdapat penemuan positif DNA babi dalam sesuatu produk yang tidak mempunyai sijil halal dari mana-mana badan yang diiiktiraf, produk-produk yang seumpama dengannya juga akan diuji secara rawak bagi mengelakkan keraguan
dalam memberi pensijilan halal.

Kesemua sampel produk yang diambil oleh JAKIM akan dihantar untuk tujuan analisis ke Jabatan Kimia Malaysia yang telah mendapat akreditasi bagi skop pengujian DNA.

Dalam melaksanakan ujian bagi sesuatu produk oleh sesebuah makmal, faktor-faktor seperti kaedah pengujian (method), tahap pengesanan (limit of detection), peralatan yang digunakan, juru analisis dan akreditasi terhdap skop pengujian memainkan peranan yang penting dan dalam masa yang sama mempengaruhi keputusan ujian.

Berdasarkan faktor-faktor ini, JAKIM sehingga kini hanya bergantung kepada keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia sebagaimana juga yang diamalkan oleh Jabatan kerajaan yang lain seperti KPDNKK.

Sehubungan itu, untuk penjelasan lanjut mengenai teknik-teknik pengujian dan sebagainya perlulah mendapat penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Kenyataan Media
Haji Othman Mustapha
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kenyataan media berkenaan aduan Starbuck Coffee

1. JAKIM melalui Bahagian Hab Halal menerima banyak pertanyaan dan aduan berhubung email yang menyatakan “JAKIM telah mengesahkan restoran Starbuck Coffee adalah haram kerana terdapat bahan yang direndam arak, untuk pengesahan sila hubungi 03-8886400”.

Kenyataan ini juga telah disebarkan melalui laman sosial Facebok.

2. Adalah dimakumkan bahawa JAKIM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada melalui media massa atau portal rasmi JAKIM yang mengatakan restoran Starbuck Coffee adalah haram.

3. Restoran Starbuck Coffee telah mendapat Sijil Pengesahan Halal dari JAKIM bermula dari 1 Ogos 2009 dan akan tamat pada 31 Julai 2012.

Justeru JAKIM menasihatkan pengguna yang ingin ke restoran Starbuck Coffee maka perlu melihat Sijil dan logo halal yang dipamerkan di restoran tersebut atau merujuk www.halal.gov.my untuk pengesahan.



Dipetik daripada Portal Rasmi Halal Hab Malaysia

Sijil halal: JAKIM jawab dakwaan Presiden MCA

KUALA LUMPUR - Semua sampel produk yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihantar untuk tujuan analisis ke Jabatan Kimia Malaysia yang sudah mendapat akreditasi bagi skop pengujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah JAKIM, Osman Mustapha, berkata dalam melaksanakan ujian bagi sesuatu produk oleh sesebuah makmal, faktor seperti kaedah pengujian, tahap pengesanan, peralatan yang digunakan, juru analisis dan akreditasi terhadap skop pengujian, memainkan peranan yang penting dan pada masa sama mempengaruhi keputusan ujian.

"Berdasarkan faktor ini, JAKIM sehingga kini hanya bergantung kepada keputusan analisis Jabatan Kimia sebagaimana juga yang diamalkan jabatan kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya dalam satu kenyataan berikutan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, semalam yang mendakwa JAKIM bersikap keterlaluan dalam menangani isu berkaitan sijil halal.

Chua juga bertanya mengenai standard yang ditetapkan JAKIM, sama ada ia diterima di peringkat antarabangsa atau sebaliknya.

Osman berkata, dalam pelaksanaan sijil halal, pengambilan sampel produk atau bahan ramuan untuk diuji didasarkan kepada dua faktor iaitu berasaskan keraguan atau aduan mengenai sesuatu produk atau bahan ramuan.

Katanya, keraguan yang dimaksudkan adalah seperti penemuan positif DNA babi dalam sesuatu produk yang tidak diiktiraf, produk yang seumpamanya juga akan diuji secara rawak bagi mengelakkan keraguan dalam pemberian sijil halal.

Osman juga menjelaskan bahawa isu kekeliruan terhadap perbezaan status halal produk Golden Churn Butter antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Sarawak tidak timbul kerana ujian yang dilakukan membabitkan sampel dari pengimport berbeza.

Beliau berkata, dalam melaksanakan ujian kandungan DNA babi dalam sesuatu produk, beberapa faktor perlu diambil kira seperti nombor kelompok keluaran produk yang diambil, pembungkusan, tempat pengambilan sampel dan faktor lain yang mungkin berlaku semasa pengeluaran produk berkenaan dikilangkan.

"Pada masa itu faktor kemungkinan berlaku kontaminasi di peringkat tertentu juga perlu diambil kira.

"JAKIM ingin memaklumkan bahawa kedua-dua sampel yang diambil oleh JAKIM dan JAIS diambil daripada nombor kelompok dan pembungkusan yang berbeza termasuk perbezaan pengimport dan tempat pengambilan sampel," katanya.

Katanya, walaupun terdapat dua pandangan yang berbeza, JAKIM tidak menyanggahi penemuan DNA babi dalam sampel produk berkenaan yang diambil oleh JAIS kerana faktor yang sudah dinyatakan dan umat Islam di Sarawak wajar mematuhi keputusan yang dibuat oleh JAIS.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusof, pula berkata JAKIM sentiasa menyediakan peluang untuk pengusaha berkomunikasi bagi urusan mendapatkan persijilan halal tetapi pada masa yang sama kepentingan Islam dan umat Islam tidak dikompromi sama sekali.

"Tidak ada isu sebenarnya yang dikatakan enam bulan baru boleh memohon sijil lain. Apa yang kita tetapkan ialah dengan memperbetulkan keperluan menghasilkan produk mengikut syariat dan ajukan semula kepada kami dalam tempoh enam bulan.

"Kalau pengusaha boleh menghantar permohonan dengan sudah diperbetulkan itu sebelum tempoh enam bulan itu berakhir, kita akan proses segera. Jika selepas enam bulan itu tamat, mereka perlu pohon mengikut prosedur dari awal," katanya. - Bernama

Samak: Najis berat dan kulit bangkai

Tanah selain digunakan untuk tayamum, boleh juga digunakan untuk menyucikan najis berat. Hal ini khusus bagi anggota atau pakaian yang terkena najis berat, sama ada najis anjing atau babi atau tersentuh tubuh atau kulit bulu anjing atau babi. Bahagian anggota yang terkena najis berat ini tidak boleh disucikan dengan air semata-mata. Tanah diperlukan bagi menyucikan najis tersebut. Bagaimana caranya?

Proses penyucian ini dinamakan samak dalam istilah orang Melayu atau sertu pada sesetengah negeri. Caranya ialah bahagian terkena najis itu perlu dibasuh atau disucikan dengan air tujuh kali basuhan. Iaitu, enam kali basuhan menggunakan air mutlak dan satu basuhan dengan air yang dicampur tanah.

Cara yang mudah seperti berikut:
1) Tanah hendaklah diambil dari tempat bersih.
2) Tanah itu dicampurkan dengan sedikit air. Campuran air dan tanah itu berperanan seperti sabun, perlu digosokkan pada tempat terkena najis. Basuhan itu dikira sekali.
3) Ambil air mutlak dan siramkan ke atas bahagian berkenaan sebanyak enam kali lagi.
4) Basuhan terakhir (dikira yang ketujuh) itu adalah sebagai bilasan akhir. Inilah cara terbaik boleh dilakukan untuk bersuci.

Walau bagaimanapun, kaedah ini sebagai panduan sahaja. Anda boleh mengikuti cita rasa sendiri. Contohnya, boleh dibasuh dengan air mutlak pada basuhan pertama dan kedua, kemudian basuhan ketiga dengan air tanah. Seterusnya diikuti air mutlak sehingga basuhan cukup tujuh kali. Dalam kaedah ini, tidaklah salah kalau kita menggunakan air tanah berupa air yang telah dikacau dengan tanah. Tetapi yang baik ialah air masih ada tanahnya. Sekali gus tanah boleh menggantikan sabun. Sungguhpun begitu di zaman moden ini terdapat produk ciptaan baru di pasaran, iaitu sabun yang komponennya terdiri tanah dan air.

Menyebut istilah samak, diharapkan tidak ada terkeliru dengan samak untuk kulit binatang. Hal ini kerana istilah samak turut diguna pakai bagi proses membersihkan kulit binatang, selain kulit anjing dan babi. Dalam konteks ini, alat samak digunakan ialah bahan-bahan kesat dan tajam boleh menghilangkan lemak dan bisa pada kulit tersebut. Antaranya akar kayu, berus, pisau, kapur, garam dan seumpamanya.

Oleh kerana kedua-dua proses samak ini berlainan sama sekali, maka bahan samak bagi kedua-duanya tidak boleh ditukar ganti. Lazimnya, semua kulit itu sudah disamak mengikut cara di atas. Umat Islam tidak perlu meragui prosesnya walaupun dilakukan bukan Islam kerana proses samak kulit itu bertujuan mengelak kulit itu membusuk.

Wednesday, August 3, 2011

Jangan beli

ALOR SETAR: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini dan Perlis supaya menghentikan sementara pembelian sosej serta kepingan ayam tanpa jenama yang diragui status halalnya dipercayai dijual secara meluas termasuk di gerai tepi jalan dan pasar malam di kedua-dua negeri berkenaan

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, sekiranya umat Islam meragui status halal sesuatu produk, lebih wajar mengelak daripada membeli atau memakan makanan itu kerana hukumnya akan jatuh kepada haram.


Perkara itu selaras dengan keputusan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perlis mengenai sosej ayam dicampur dengan pulut, selain produk kepingan ayam tanpa jenama, dijual secara meluas terutama di kawasan Sungai Bahru, Perlis disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Justeru, katanya, Jakim akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk memantau kemasukan secara berleluasa produk sejuk beku dari Thailand dipercayai secara haram yang diragui status halalnya.


“Mengikut maklumat daripada JPV, kedua-dua produk yang disahkan mengandungi DNA babi tiada dalam senarai produk disaring JPV dan ia dipercayai dibawa masuk secara haram tanpa kebenaran termasuk untuk perhatian Bahagian Hab Halal Jakim.


“Justeru, kita menasihatkan peniaga yang mungkin terlepas pandang perkara ini termasuk tidak mengetahui kandungan produk diambil dari Thailand supaya menghentikan penjualan sosej dan kepingan ayam yang diragui status halalnya termasuk di bazar Ramadan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan, di sini, dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi DNA babi.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

Tuesday, August 2, 2011




TAK HALAL...sosej pulut dan kepingan ayam yang diimport dari Thailand.

KANGAR: Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.

Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

“Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.


“Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Dilema pengusaha kek lapis Sarawak

KUCHING: Pengusaha kek lapis di Sarawak yang dikatakan menjadi pengguna utama mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan itu, kini dalam dilema apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tenusu itu tidak halal selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonuklik (DNA) babi, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas bagi membincangkan status mentega itu yang turut membabitkan beberapa agensi berkaitan.


Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) dan Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan mentega itu.

“Sebelum ini, kebanyakan pengguna keliru apabila Jakim mengatakan mentega itu halal, manakala Jais mengesahkan ia mengandungi DNA babi.


“Saya berharap keputusan yang dicapai tadi (semalam) akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai status mentega itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengenai kesan keputusan itu terhadap industri kek lapis Sarawak yang menggunakan produk tenusu dalam produknya, Wan Ahmad Uzir berkata, Jais akan mengeluarkan logo halal bagi kek lapis yang tidak menggunakan mentega berjenama berkenaan.

“Apabila logo halal itu digunakan, orang ramai tidak perlu lagi was-was ketika membeli kek lapis Sarawak kerana Jais sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengusaha tidak lagi menggunakan mentega itu,” katanya.


Isu DNA babi dalam mentega terbabit timbul selepas Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, mengesannya dan mengeluarkan amaran kepada pengguna Islam, pada 18 Mei 2011